Risalah Rahmah

Risalah Rahmah ... Risalah Kasih Sayang

Jiwa manusia secara fitrah mencintai orang yang bersikap baik padanya. Seseorang yang apabila melihat hati manusia yang tertutup, kemudian berupaya membukanya dengan lemah lembut dan berinteraksi dengan penuh kasih sayang dan berusaha menghadirkan perasaan cinta. Dengan itu, hingga akhirnya hati yang keras akan menjadi lunak, jiwa yang penuh kemungkaran akan menjadi istiqamah dalam kebaikan. Kerana apa saja yang berasal dari hati itu akan sampai ke hati, dan apa saja yang keluar dari lisan akan masuk ke telinga.

Inilah orang yang memahami jiwa.

Sesungguhnya orang yang memahami jiwa, akan sedar bahawa jiwa itu cenderung berbuat kesalahan dan menentang kebenaran... sehingga hati menjadi keras. Kalau dalam keadaan seperti itu kau sentuh dia dengan peringatan2 secara langsung, maka kau akan bertempuran dengannya. Untuk itu haruslah kau bersikap lemah lembut dalam bergaul dengannya. Hendaknya kau mengetahui tabiat jiwa dan pintu hatinya, kerana engkau tidak berhadapan dengan batu yang keras, tidak pula dengan malaikat yang suci dan mulia ... akan tetapi engkau sedang bergaul dengan jiwa manusia yang memiliki tabiat menerima dan menolak ... ada kecenderungan baik dan ada pula kecenderungan buruk. Sesungguhnya DIA mengilhamkan kepada jiwa itu kedua-dua jalan kefasikan dan ketakwaan.

Ali bin Abi Talib berkata, " Sesungguhnya hati manusia itu kadang-kadang menerima dan kadang-kadang menolak. Maka apabila hati itu menerima, bawalah dia untuk melakukan nawafil (sunat),,,dan apabila hati itu sedang menolak, maka cukuplah untuk melakukan faraidh(wajib).

DIA mengajar kita dalam Al Quran, apabila ada dua cara dialog, yang satu baik, dan yang satu lagi lebih baik, maka wajib memilih yang terbaik. Hal itu untuk memikat hati orang yang berbeza pendirian dan untuk mendekatkan serta mempersempit jurang pemisah.

Ar Rifq (sikap lemah lembut) merupakan sesuatu yang akan menjadi jambatan insan. Maka, kuatkanlah jambatan itu, hiasilah dengan sikap lemah lembut, meskipun kepada orang yang memusuhimu.

Renungkanlah kata-kaya Yahya b Muadz, "Sebaik-baik sesuatu adalah ucapan yang lembut".

Justeru, seorang pejuang bukan hanyalah pada dia yang mahir menghunus pedang...atau merentas lautan api...adalah pejuang itu juga seorang yang bertungkus lumus menjadi yang terbaik dengan menuturkan ucapan yang baik dengan penuh lemah lembut.

Kasih sayang...apakah itu kasih sayang? Di mana kita letak nilai kasih sayang? pada luahan kata2? pada curahan hadiah dan pemberian? Hmmm...

Bila direnung, dan diimbas kembali...
Rasulullah s.a.w. berlumba lari dengan Aisha isterinya dalam gurau senda ... kasih sayang itu bukan pada lumba larinya...tetapi pada membiarkan dirinya tewas pada isterinya ...melihat keseronokan Aisha di saat menang lumba lari. Di lain ketika, baginda menangkan dirinya dalam perlumbaan, supaya ada gurau rajuk pada diri isteri itu...itu tanda berkasih sayang.

Rasulullah s.a.w.memberitahu mafhumnya kaum wanita ini dicipta daripada tulang rusuk yang bengkok..jika cuba diluruskan akan patah, jika dibiar bengkok, akan terus bengkok...maka hendaknya dilentur perlahan2 yang memerlukan sabar yang banyak. Adakah Baginda memperlekehkan sifat wanita yang bengkok? Baginda menerima hakikat ciptaan wanita begitu....

Sayidina Omar r.a. membiarkan isterinya berleter sebagai menunjukkan tanda kasih sayangnya, sedangkan beliau adalah khalifah yg perkasa, sekali bentak saja tentu terdiamlah isterinya itu...tapi atas dasar kasih sayang, beliau menjaga hati dan perasaan isteri yang sedang keletihan mengurus rumahtangganya..itu kasih sayang.

Justeru adakah kasih sayang ditunjukkan dengan memberi makan? Mungkin...tapi jika ada kasih sayang...yg diberi makan akan sanggup berlapar sama, berkongsi sedikit yg ada...demi tautan hati...dan dalam hati itu ada perasaan sedia berkorban.

Adakah pula kasih sayang ditunjukkan dengan aksi fizikal? Betapa selalu kita pernah mendengar, seorang yang walau digoda wanita cantik apabila berpergian dan bermalam di hotel, tidak termakan godaan wanita jelita...kerana rasa kasih dan sayang pada yang menanti di rumah. Menjaga dirinya..demi menjaga hati insan yang disayangi yang pastinya akan terluka jika melihat pasangan mencurah sayang pada yang lain

Adakah kasih sayang itu dengan limpahan wang dan harta ringgit? Tapi selalu pula kita mendengar betapa ramai yang sanggup meninggalkan harta kekayaan kerana rasa kasih dan sayang pada pasangannya. Sanggup berkorban, demi menjaga hati yang disayangi yang tidak punya apa.

Hati lelaki pada fitrahnya cenderung pada wanita. Tetapi tidak ramai yang menggunakan haknya untuk beristeri lebih pada satu...Zahirnya, demi ego mereka memberi bermacam alasan...tapi jika dicungkil hati kecil...mereka berkorban demi menjaga hati isteri agar tidak kecewa, atau remuk dan tercalar....

Kesimpulan...apakah kasih sayang itu? Melainkan PERASAAN yang menusuk di hati...sesuatu yang tidak boleh dilihat, disentuh..tetapi DIRASAI dalam hati...antara dua kekasih..hanya pandangan mata cukup untuk menyatakan segalanya..kerana tautan perasaan yang tersemat di hati. Kesimpulannya...kasih sayang ialah perihal menjaga hati itu...tidak melukai hati itu...tidak mahu merosakkan hati dan perasaan itu...orang yang berkasih sayang umpama dicubit peha kiri..peha kanan MERASA sakitnya...

Akhirnya...kasih sayang itu pada pendapatku....ialah berkaitan PERASAAN...dan untuk memupuk kasih sayang agar sentiasa mekar dan bertenaga...ialah dengan masing-masing terus berusaha MENJAGA HATI yang menjadi tempat menyimpan perasaan itu...

Hadirku Di Sini


Coretan pena buat ... meluah rasa, memujuk hiba, melayan minda, merawat jiwa.


Senda gurau buat ... melepas lelah, menyegar minda, merihat jiwa, merapat ukhuwah

Rihat sementara

Selama anak saya berpergian untuk 7 minggu kebelakangan ini, saya telah rihatkan sementara blog saya ini. Ini kerana, anak saya itu merupakan penyunting bagi hasil tulisan-tulisan saya ini, terutama pada bahagian penggunaan perkataan dan penyusunan ayat.

Inshaallah, apabila dia pulang dari kursusnya nanti pada awal Februari ini, saya akan menyambung semula tulisan saya berkaitan Hukum Tarikan (Law of Attraction) ini.

Hingga ketemu lagi inshaallah.

Hidupkan Perasaan Itu

The key to having whatever your most divine heart desires — bar nothing — is finding a way to feel good about your Want: not wish for it, yearn for it, long for it, sigh for it, or feel discouraged about it; but just feel good about it.


Setelah kita tahu apa yang kita tidak mahu, dan mengenal pasti apa sebenarnya yang kita hajati, bagaimanakah caranya untuk kita mendapatkan apa yang dihajati itu?


Penyelesaiannya? Ubah perasaan kita!


Mari kita lihat bersama. Apabila ada sesuatu yang benar-benar kita hajati, fikirkan sebentar akan hajat kita itu, dan kemudian kenal pasti perasaan kita pada ketika itu. Sekiranya dengan memikirkan apa yang kita hajati mendatangkan perasaan sedih, kurang selesa, sayu, dan putus asa, maka sebenarnya kita sedang memberikan tumpuan pada apa yang kita tidak mahu, dan ini akan menyebabkan jiwa memancarkan getaran negatif.


Sebaliknya, jika kita berasa seronok, teruja, gembira — walaupun sedikit — maka insya-Allah kita menepati sasaran dan sedang mula menggerakkan getaran positif ke alam semesta.


Inilah cabaran kita dalam Hukum Tarikan ini: mengekalkan raza teruja, gembira dan positif ini supaya gelombang itu nantinya akan menarik gelombang-gelombang positif yang lain yang akhirnya menjadi doa yang telah dijanjikan Allah akan dimakbulkan. Walaupun kita belum dapat membayangkan bagaimana cara untuk mendapatkan apa yang kita hajati itu, namun, hidupkan perasaan yakin dalam hati — bayangkan seolah-olah apa yang dihajati itu telah pun berada dalam genggaman … ah, betapa seronoknya perasaan itu!




  • Rasakan betapa seronoknya mendapat segulung ijazah itu walaupun kelas semester pertama belum pun bermula lagi.

  • Bayangkan dan rasakan seronoknya bekerja di pejabat baru setelah kita dinaikkan pangkat dan kita seronok dengan jawatan baru itu, walaupun kenyataannya kita baru dicalonkan.

  • Bayangkan dan rasakan seronoknya kita dengan pasangan yang kita inginkan selama ini — melakukan segala-galanya bersama-sama dan hati begitu girang sekali kerana berada di sisinya — walaupun dalam realiti kita belum bertemunya lagi.


Sekiranya perkara-perkara di atas yang kita hajati lalu demikian kita bayangkan, apa yang sebenarnya kita buat ialah memesongkan tumpuan kita daripada keadaan kekurangan kita kepada apa yang sebenarnya kita hajati. Apabila tumpuan kita pada betapa seronoknya dan bahagianya mencapai apa yang dihajati, jiwa dan perasaan kita juga turut berubah menjadi lebih ceria. Keceriaan ini seterusnya menghantar gelombang positif ke persekitaran kita, dan menarik gelombang-gelombang yang juga positif yang membantu mempercepat tercapainya hajat dan doa kita, insya-Allah.


Dalam Al-Quran jelas Allah hanya mahu mendengar suara hati kita. Perhatikan kata-kata Allah:


“Dan sungguh, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya...” ~Surah Qaf, ayat 16


Dalam buku Fiqhud-Du’a, Sa’id al-Lahham mengatakan bahawa jika suara lidah bertepatan dengan suara hati, Allah akan mengabulkan apa sahaja yang kita inginkan. Sebaliknya, jika suara lidah bertentangan dengan suara hati, doa kita akan tertangguh pula. Maka, adalah penting untuk kita menumpukan perhatian pada suara hati dan lidah yang saling memberi tenaga. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam lubuk hati kita. Maka tentulah apabila kita meminta tanpa perasaan dan ketulusan hati, doa kita tidak dimakbulkan. Hal ini demikian kerana doa kita tidak mempunyai tenaga yakin. Kita mungkin mengungkapkan kata-kata indah, tetapi suara hati kita tidak seirama senada dengan apa yang kita tuturkan secara lisan. Ingatlah selalu akan hadis Qudsi berikut:


“Aku adalah sebagaimana prasangka hamba-Ku terhadap Aku; maka seharusnya dia memliki prasangka yang baik terhadap Aku.”


Selama mana kita berterusan menghantar gelombang positif kepada alam, maka lebih kerap dan lebih banyaklah kita menarik gelombang-gelombang positif ke arah kita pula. Semua ini mempercepat proses tercapainya apa yang dihajati. Rasa yakin dengan Allah dengan prasangka baik bahawa Allah akan memakbulkan apa yang kita doakan adalah satu senjata yang amat bertenaga untuk menarik kebaikan ke arah kita jua.


“Once you know what you want, you must find the FEELING PLACE of having that Want, while at the same time staying out of the feeling place of not having it.” ~Lynn Grabhorn


Maka persoalannya kini, bagaimanakah caranya untuk kita terus-menerus mengekalkan dan memancarkan getaran-getaran positif ini? Bagaimanakah caranya untuk kita terus-menerus berprasangka baik dengan Allah? Bagaimanakah caranya untuk kita mengekalkan rasa yakin dengan janji-janji Allah ini?


Di sini saya akan menyebutkan dahulu dua pendekatan yang saya sendiri gunakan setelah mengkajinya. Dan insya-Allah dari semasa ke semasa akan saya selitkan pendekatan-pendekatan lain di mana sesuai:

1. Bukan sekadar mahu, tetapi berniat/berhajat (intend)


Apabila kita berniat atau berhajat akan sesuatu; ia bemaksud kita ‘mempunyai pelan, objektif dan matlamat’ (Kamus Dwibahasa Longman). Kita boleh mulakan dengan hajat yang kecil, yang kita buat setiap hari. Keinginan begini akan membuat kita teruja, dan ini seterusnya menjadikan jiwa kita bertenaga lalu memancarkan getaran yang positif. Setiap pagi saya bangun dengan lafaz doa ini: “Alhamdulillahillazi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihin-nusyur”. Dan saya jadikan doa ini sebagai niat saya untuk terus berasa ceria sepanjang hari. Dan sesungguhnya ia boleh menjadi kenyataan apabila saya memecah-mecahkannya kepada hajat-hajat yang lebih kecil. Contohnya:



  • Hari ini saya bercadang nak pakai warna kegemaran saya.

  • Hari ini saya bercadang tiba awal ke sekolah, dan tidak rushing dalam jam.

  • Hari ini saya bercadang untuk peluk anak-anak saya sebelum mereka ke sekolah.

  • Hari ini saya bercadang untuk murah rezeki; selera saya bagus.


... dan seterusnya. Bila tercapai saja satu hajat, saya buat hajat-hajat yang lain dan teruskan berasa ceria. Percayalah! Jika kalian bangun pagi dengan niat mahu ceria, insya-Allah sesungguhnya cerialah kalian pada hari itu. Jangan meraguinya sebelum anda mencubanya. Pada suatu ketika, saya pernah mengalami tekanan dan apabila bangun sahaja daripada tidur, tekanan itulah yang mula-mula menerjah di kepala. Setelah memahami Hukum Tarikan ini, saya sememangnya bercadang untuk menceriakan diri; lalu saya pasangkan niat sedemikian walaupun masalah tetap ada. Dengan tidak semena-mena saya menerima SMS daripada seorang kawan yang telah lama menghilang. Beliau menghantar mesej kata-kata semangat yang benar-benar memotivasikan saya pagi itu dan cukup menggembirakan hati saya! Percayalah, getaran postif yang kita pancarkan keluar akan menarik yang positif juga kepada diri kita. Kemudian, saya pasangkan niat untuk murah rezeki tanpa saya memberi tumpuan bagaimana rezeki itu akan datang. Pada saya, urusan itu saya serahkan saja pada Allah. Of all days, pada hari itulah saya telah menerima RM400.00 sebagai cenderahati tertangguh daripada sebuah sekolah di mana — dari semasa ke semasa — saya datang membantu pelajar-pelajarnya secara suka rela. Dan saya tak pernah pun menuntut bayaran daripada pihak sekolah itu!


Tapi apa pun, dengan kita memasang niat untuk sesuatu yang positif, sebenarnya itu sudah memadai untuk menceriakan kita dan seterusnya menggerakkan getaran positif dari dalam diri kita ini.


2. Senyuman Syukur (Gentle Inner Smile)


Ya! Senyuman adalah satu pendekatan paling mujarab untuk mewujudkan dan seterusnya memancarkan getaran positif dalam diri kita. Senyuman syukur ini tampak dari luar sebagaimana senyuman biasa yang lain, tetapi hakikatnya ia bermula daripada suatu perasaan dari dalam diri kita — satu perasaan syukur atas segala kejadian ciptaan Tuhan, dan disertai rasa kasih sesama makhluk dan juga apa saja di muka bumi ini. Kita hanya perlu memikirkan satu peristiwa yang menggembirakan, atau melihat satu objek yang mengingatkan kita kepada satu detik gembira, dan kita akan merasai perasaan seronok itu bermula dari lubuk hati kita hingga akhirnya terpancar sebagai satu senyuman yang lembut ... senyuman yang datang daripada kesyukuran. Selalu saya pegang loket di leher saya ini, kerana ia sentiasa membuat saya tersenyum syukur apabila saya teringat bahawa loket ini dibeli oleh anak saya ketika beliau berusia sepuluh tahun dengan wang simpanannya sendiri. Dan tujuan dia membelikan loket emas itu adalah semata-mata kerana dia bimbang sekiranya dia tidak sempat membelikan saya barang kemas untuk menggembirakan saya. Dia telah memecahkan tabung dan membayar harga loket itu dengan wang syiling simpanannya semata-mata. Saya sungguh terharu dan setiap kali teringat akannya saya pasti ceria dan bersyukur kerana mempunyai anak yang sungguh sayang akan umminya.


Sebenarnya kita tak perlu mengaitkan sebarang peristiwa untuk menjadi ceria. Setelah mengenali Hukum Tarikan ini, saya memanifestasikan doa saya dalam bentuk perasaan hati yang cukup menenangkan dan menceriakan hati saya. Setiap pagi, selepas solat subuh dan selepas berdoa, saya mengambil sedikit masa untuk menyelami perasaan saya. Dalam setiap doa, kita lazimnya memohon ampun daripada Allah. Dalam kesunyian pagi, sesudah subuh, sebelum saya memulakan aktiviti harian saya, saya akan memejamkan mata saya sambil duduk di atas sejadah, dan membayangkan betapa seronoknya jiwa yang diampunkan Allah. Saya membayangkan betapa beruntungnya jiwa yang dikasihi Allah, saya membayangkan Allah menyayangi saya, dan mengampunkan dosa saya kerana kasihnya Allah pada hamba-Nya. Saya seterusnya membayangkan pula diri saya mencintai Allah dan membayangkan diri saya mentaati perintah Allah, memenuhi hidup saya pada hari itu dengan amal-amal yang baik dan diredai Allah. Sesungguhnya hanya Allah yang tahu akan perasaan jiwa dan hati saya apabila saya membayangkan gambaran seperti itu. Reda Allah bersama saya, dan reda saya bersama Allah. Ketika itu hanya saya dan Allah sahaja … my very own private moment! Saya membayangkan Allah mengetahui kelemahan saya dan apa jua yang dalam hati saya ini. Ini benar-benar menghidupkan rasa syukur dalam jiwa saya. Percayalah, perasaan syukur ini merupakan satu tenaga penggerak positif yang cukup mantap. Apabila kita berasa cukup dengan apa yang kita ada, pada masa yang sama kita merasakan kita boleh mencapai apa sahaja yang kita hajati dalam hidup ini. Saya merasakan masih ada harapan buat saya kembali kepada-Nya, walaupun saya insan yang banyak melakukan kesilapan.


“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Aku akan menambah (nikmat) kepadamu...” ~Surah Ibrahim, ayat 7


“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.” ~Surah al Baqarah, ayat 152


Insya-Allah, pendekatan-pendekatan lain akan sama-sama kita lihat kemudian.


Dan kerana kasih’kan Allah, maka saya kasih’kan kalian juga.



Nothing can stop the man with the right mental attitude from achieving his goal; nothing on earth can help the man with the wrong mental attitude.


~ Thomas Jefferson




Elemen pertama dalam Hukum Tarikan ialah mengenal pasti apa yang kita tak mahu. Tetapi, kita mesti sentiasa berwaspada agar jangan sampai ia menjadi fokus pemikiran kita. Bahayanya ialah apa yang kita fokuskan nanti hanya akan menarik getaran atau gelombang yang sama negatifnya ke arah kita semula; dan meletakkan kita dalam keadaan yang lebih bermasalah. Ada benarnya kata orang tua-tua, “masin mulut”. Apa yang kita fikirkan itulah yang akan kita peroleh.



Sebagai contoh, sekiranya kita mempunyai sebuah kereta yang memberi kita masalah, dan kita ingin menukar kereta kita itu, mungkin kita akan memberitahu pada teman/kawan/pasangan kita, “Aku tak mahu kereta buruk ni lagi.” Sudah tentunya dalam berkata demikian, kita mengeluarkan dua gelombang negatif: (a) Kita memfokuskan sesuatu yang kita ‘tidak mahu’ iaitu kereta buruk kita, dan (b) sudah semestinya dalam berkata demikian, dalam benak hati kita, kita membayangkan segala masalah yang kita hadapi dengan kereta tersebut. Dalam erti kata lain, hati kita tak senang dengan kereta buruk kita itu. Nah! Gelombang inilah yang akan kita pancarkan dari hati kita, satu gelombang yang “down” dan negatif, maka percayalah, inilah juga yang akan kembali semula kepada kita. Mungkin sukar untuk dipercayai bukan? Tapi, mari kita renung sejenak. Dalam kalangan kita, saya pasti telah pernah berlaku hal ini dalam hidup kita, biarpun hanya sekali. Sebaik sahaja kita kata kita hendak beli kereta baru, maka ada-ada sahajalah masalah yang mula timbul dengan kereta kita itu. Sehingga akhirnya kita mengeluh dan merungut, “Eh, sebut aja nak jual, buat hal pula kereta ni, asyik nak meragam saja”. Pernahkah ini berlaku pada anda? Mungkin bukan dengan kereta, mungkin dengan peti ais, dengan set stereo hi-fi dsb. Mungkin juga dengan rumah yang kita nak jual! Sampai kadangkala kita komen secara berseloroh, “Kereta/rumah/peti ais aku ni … sebut aja nak jual, dia merajuk pula!”



Mana mungkin benda-benda itu merajuk! Sebenarnya apa yang berlaku ialah “law of attraction in action”. Diri kita sendiri yang, dalam sedar tak sedar, telah memberikan tumpuan kita pada masalah kita, dan kita sendiri yang telah membenarkan ia berlegar dalam minda dan hati kita, sehingga akhirnya ia mengeluarkan satu getaran negatif yang kemudiannya menarik gelombang-gelombang rendah yang sama frekuensi dengan getaran negatif yang kita pancarkan sendiri … dan itulah hasilnya. Yang rosak bertambah rosak, yang lemah bertambah lesu, dan yang bermasalah, berganda lagi masalahnya.



Mari kita lihat satu lagi contoh yang sama tapi tak serupa. Sering kita berdialog dengan diri sendiri, dan mungkin ada masanya juga kita luahkan pada teman yang boleh kita percayai. “Hidup aku ni bosanlah—aku nak happy-happylah.” Namun, keriangan, keceriaan, dan kebahagiaan yang kita cari itu tidak juga kunjung tiba. Puncanya mudah sahaja. Walaupun kita kata kita mahu gembira, tapi fokus dan tumpuan dalam hati kita ialah betapa bosannya hidup kita ini. Maka itulah gelombang yang terpancar keluar ke alam semesta; itulah doa yang sampai ke langit, dan itulah yang akan kembali semula pada kita.



Saya kira, kalian telah mula nampak gambarannya. Bukan sekadar kita berkata-kata, “Aku mahu kereta baru, aku mahu rumah baru, aku mahu kaya,” tetapi yang lebih penting ialah apa perasaan yang kita sematkan dalam hati—niat yang kita pancarkan keluar dalam bentuk gelombang tanpa bunyi itu. Dan apa yang kita fokuskan itu mestilah dalam bentuk yang betul; yang positif. Pada satu-satu masa, hanya boleh wujud satu perasaan dalam hati kita — positif atau negatif. Maka, yang penting ialah mewujudkan dan kemudian mengekalkan perasaan positif itu dalam fikiran dan seluruh ruang hati kita. Kita mahu kaya, wujudkan niat yang betul, buangkan segala yang negatif, fikirkan yang positif dan insya-Allah gelombang itulah yang akan nanti menarik gelombang-gelombang lain yang sama frekuensi dan menjadi doa yang mustajab. Akan adalah peluang dan ruang untuk kita berusaha menambah rezeki. Tapi, apa yang penting ialah keyakinan jitu kita bahawa apa yang kita hajati itu akan tercapai; bagaimana ia tercapai, sebenarnya itu adalah urusan Allah. Kita hanya perlu yakin Allah akan menunaikan janji-Nya dan bersyukur kepada-Nya. Bagaimana caranya kita mensyukuri nikmat-Nya? Inilah yang menjadi elemen seterusnya dalam Hukum Tarikan. Insya-Allah ini akan saya bincangkan kemudian.



Maka kesimpulannya, perkara awal untuk kita mulakan langkah mengamalkan Hukum Tarikan ini dan seterusnya mengubah hidup kita ke arah kejayaan dan kecemerlangan ialah dengan mengenal pasti apa yang kita tak mahu. Tapi awas, cukup setakat itu. Jangan kita fikir-fikirkan, jangan kita jadikan tumpuan fokus kita. Cukuplah peranannya sebagai memberitahu kita apa yang kita mahu sebenarnya. Kemudian, dalam meminta apa yang kita hajati itu, berwaspada juga dengan kata-kata yang kita ucapkan, kerana ianya nanti akan mempengaruhi perasaan dan kata hati kita pula. Dan kata hati inilah yang sebenarnya nanti menghantar gelombang ke luar yang akan menarik gelombang seumpamanya kembali kepada kita semula.



Saya juga telah cuba menunjukkan bahawa pada satu-satu masa tertentu, hanya satu perasaan yang boleh mempengaruhi kita — positif atau negatif. Tak mungkin orang gembira itu bersedih, tak mungkin orang marah itu tenang dalam satu masa serentak. Jika gelombang positif yang kita pancarkan, maka yang positif jugalah yang akan tertarik padanya. Maka, di sini, menjadi tanggungjawab kita supaya sentiasa berusaha memancarkan gelombang positif. Ini boleh kita usahakan jika kita sentiasa mengelakkan penggunaan frasa-frasa negatif dalam hidup seharian kita. Contoh yang selalu saya dengar (dan saya juga pernah dalam situasi sedemikian) ialah:



“Bosannya aku”


“Kalaulah aku …”


“Aku bukan tak boleh, tapi …”


“Aku tahu, tapi dia …”


“Menyampah betul …”


“Bengang betul … siot betul …”


“Kenapa orang lain jadi, aku tak jadi ni haa?”


“Dah memang aku ditakdirkan begini …”



Sedarlah kita kini, semua frasa-frasa di atas memancarkan gelombang negatif yang akhirnya nanti hanya akan menarik gelombang-gelombang negatif yang lain kepada kita semula. Mari kita sama-sama berusaha secara sedar mulai sekarang, untuk melebihkan ucapan-ucapan positif daripada yang berunsur negatif. Ingatlah, jaga apa yang kita pertuturkan, mulut kita memang “masin”.



Beberapa contoh bagaimana kita boleh ubah ungkapan negatif kepada yang positif. Setiap kali kita perasan diri kita mengatakan “Tak” atau “Jangan” kita ubahkan pola ayat menjadi positif.










NegatifPositif
“Kenapa TAK telefon?”“Nanti telefon ya.”
“Aku TAK mahu gagal.”“Insya-Allah lulus,”
“JANGAN lambat.”“Kita jumpa tepat pada masa ya.”
“JANGAN panik.” “Bertenang.”
“Sunyinya aku.”“Allah bersamaku.”
“Aku TAK mahu dilukai.”“Aku redha.”
“Aku TAK mahu tersilap lagi.”“Aku lebih matang kini.”
“Aku sedih.”“Insya-Allah aku ceria selalu.”
“Aku bosan.”“Alhamdulillah, besarnya nikmat masa yang Allah kurniakan.”


Saya yakin kita semua boleh merasakan suatu perubahan perasaan dalam hati sebaik sahaja kita tukarkan ungkapan-ungkapan negatif di atas menjadi positif. Ada satu titik atau ruang di dalam rongga dada kita yang terasa hangat, yang boleh bertukar menjadi satu “beat” atau getaran yang lebih bertenaga dan lebih selesa. Inilah gelombang positif yang kita pancarkan dan nantinya akan menarik apa jua yang positif kembali kepada kita semula. Inilah yang mesti kita usahakan—perasaan “I feel good”. Kata-kata boleh kita maniskan; tetapi bak seni kata dalam sebuah lagu lama yang amat saya minati, “Tetapi hati ini, tidak dapat dibohongi, bila berjauhan, kita kerinduan.”



Begitulah! Saya merindukan kalian bersama-sama saya mengecap kebahagiaan dan reda Allah, dalam satu kehidupan yang penuh bahagia dan ceria. Apakah caranya untuk kita kekalkan rasa positif ini? Bicara kita masih jauh. Memadailah buat masa ini, saya tinggalkan kalian dengan ayat-ayat suci Allah ini. Yakinlah, dan seraplah sepenuhnya dalam lubuk sanubari kita, akan janji-janji Allah ini:




“Bukankah Kami telah melapangkan dadamu? Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu, yang memberatkan tanggunganmu? Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu? Kerana sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmu hendaknya kamu berharap.”


~Surah al Insyirah, ayat 1–8



Kerana-Nya jualah, saya kasihkan kalian.

Getaran Jiwa

The Law of Attraction responds to whatever vibration you are sending by giving you more of it, whether it’s positive or negative. It simply responds to your vibration. — Michael J. Losier



Hukum Tarikan adalah suatu hukum fizik yang tidak mengenal kaum, jantina mahupun keturunan. Asasnya mudah sahaja—apa yang kita fikirkan, yang kita beri tumpuan, itulah yang akan kita tarik ke dalam hidup kita. Jika tumpuan kita adalah kepada kekurangan pada diri kita yang ingin kita perbaiki, itu belum memadai; malah lebih berbahaya, kerana tumpuan kita adalah terhadap kekurangan atau masalah dan inilah nanti yang akan kembali ke dalam diri kita.



Dalam kehidupan seharian kita, kita terpengaruh dengan apa yang kita terima, kita dengar dan kita perhatikan di sekeliling kita. Dan dalam kita memerhati dan berinteraksi ini, kita membuat tanggapan dan penilaian yang seterusnya menetapkan mood atau perasaan kita. Joe Vitale, dalam bukunya The Key, mensifatkan mood atau perasaan ini sebagai satu bentuk tenaga, manakala Losier pula menyatakan tenaga ini dalam bentuk getaran yang tidak kelihatan tetapi tetap terpancar keluar—gelombang perasaan yang boleh berupa negatif atau pun positif.



Menurut Hukum Tarikan, gelombang yang kita pancarkan ini akan menarik gelombang-gelombang lain yang sama frekuensinya dengan gelombang yang kita pancarkan itu. Maka, ini bermakna apa-apa mood atau gelombang perasaan yang kita pancarkan, akan menarik gelombang perasaan atau mood yang serupa ke arah kita. Satu hukum fizik yang straightforward. Maka akhirnya wujudlah kita dalam satu kitaran gelombang yang dirangsangkan oleh apa yang kita perhatikan pada diri kita atau pun persekitaran kita.



Lynn Grabhorn, dalam bukunya Excuse Me, Your Life is Waiting, menceritakan bagaimana apabila perniagaannya merosot, beliau berusaha untuk membaiki keadaan kewangannya dengan pelbagai cara, tetapi tanpa disedarinya, jauh di sudut hatinya, beliau sentiasa bimbang jika perniagaannya itu tidak dapat dipulihkan. Maka, walaupun beliau berazam untuk membaiki keadaan kewangannya, tetapi perasaan yang sebenar dalam jiwanya ialah bimbang tentang perniagaannya menghadapi masalah kewangan. Maka, perasaan inilah sebenarnya menjadi getaran mesej yang dikeluarkan; yang akhirnya menarik getaran negatif kembali ke arah dirinya. Akibatnya, keadaan beliau menjadi lebih tertekan. Keadaan kewangannya menjadi semakin parah. Sehinggalah akhirnya beliau mengalihkan fokusnya kepada yang lebih positif, beliau membayangkan keadaan yang lebih stabil sambil melayani perasaan seronok berada di dalam gambaran sedemikian, walaupun pada realitinya beliau tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat. Tetapi secara tiba-tiba, bantuan mulai datang dari pihak-pihak yang tidak disangka dan perniagaannya terselamat. Inilah sebenarnya prinsip kedua dan ketiga dalam Law of Attraction, Hukum Tarikan:




  1. Identify what you don’t want

  2. Identify what you DO WANT

  3. Find the feeling place of your WANT

  4. Expect, listen, and allow the universe to deliver.



Satu contoh yang lebih dekat dengan kita mungkin ialah seorang hamba Allah yang saya kenal rapat sering merungut setiap kali menghampiri lampu isyarat jalan raya ketika memandu.



“Kalau aku dah dekat ni nanti, mesti lampu hijau ni bertukar kuning.”



Teka sajalah apakah yang agaknya berlaku … sememangnya lampu menjadi kuning, kerana beliau menghantar getaran demikian ke alam sekitar, dan alam bertindak balas dengan getaran tersebut. Walaupun tidak dilafaz, tetapi kalau itu yang menjadi kepercayaannya, itulah yang akan diperolehinya.



Contoh yang lain ialah apabila saya dan suami pergi menunaikan umrah satu ketika dulu. Selipar Jepun yang dipakainya ke masjid sentiasa hilang selepas solat. Untuk mengelak kehilangan selipar untuk kesekian kalinya, beliau telah meletakkan selipar Jepunnya itu dengan diapit oleh sandal saya yang harganya sepuluh kali lebih mahal daripada selipar Jepunnya itu. Kedua-dua selipar kami ini diletakkan di rak kasut yang berpetak. Sebelum masuk ke dalam Masjidilharam, sempat suami saya bersuara, “Nanti, jangan-jangan selipar Abang jugak yang ‘kena kebas’.”



Di Tanah Haram, tempat segala kata-kata menjadi doa mustajab, rasa-rasanya boleh tekalah selipar siapa yang ‘kena kebas’. Pada ketika kejadian itu berlaku, saya tak tahu menahu lagi tentang Hukum Tarikan ini. Saya cuma tergelak geli hati sambil memberitahu apa yang kita semua akan cakap, “Masin mulut Abang.”



Maka, dalam Hukum Tarikan ini, kata-kata kita menjadi senjata yang berbahaya jika disalahgunakan. Kita mesti berhati-hati dengan apa yang kita tuturkan. Kata-kata kita mencorakkan pemikiran kita, dan pemikiran pula menentukan perasaan kita mengenai sesuatu perkara itu. Perasaan dalam hati inilah yang menghantar gelombang yang akan menarik gelombang yang sepunya ke arah kita kembali. Positif gelombang yang dihantar, positiflah yang akan datang kepada kita. Jika negatif gelombang yang dihantar, maka bersedialah: perkara negatif yang sama, atau pun yang bergetar pada frekuensi yang sama yang bakal kembali kepada kita semula.



Satu lagi contoh bagaimana lintasan hati memberi kesan kepada kita. Sekali lagi saya mengutarakan kejadian yang berlaku di tempat kata-kata paling mustajab—di Tanah Suci Mekah. Sambil menunggu hari wukuf di Arafah, para jemaah semakin ramai membanjiri Tanah Suci Mekah, sehingga kelihatan seperti lautan manusia bila tiba waktu solat. Saf-saf melimpah sampai ke perkarangan Masjidilharam apabila tiba waktu solat. Selepas solat, jemaah pun berselerakan seperti semut keluar dari busut. Suami saya telah berpesan agar saya tunggu di satu sudut luar masjid sekiranya saya keluar dahulu. Bayangkan, dari jauh, dengan terik panas selepas solat zohor, bagaimana mungkin untuk saya mengenal pasti susuk tubuh suami saya? Dalam kebimbangan, akhirnya saya nekad dan berdoa pada Allah, “Ya Allah, dalam lautan manusia ini, kau tunjukkan suamiku padaku.”



Masya-Allah, di celah-celah lautan manusia yang banyak, saya telah dinampakkan susuk tubuh suami saya!



Pada saya, itulah yang paling dekat saya memahami dengan sebenarnya erti tawakkal. Malangnya, saya gagal menghayati maksud tawakkal seperti itu lagi, sehinggalah minda saya digerakkan semula apabila saya mengamalkan Hukum Tarikan ini. Apabila saya bertawakal untuk dipertemukan dengan suami saya di tengah-tengah lautan manusia itu, saya nekad dalam erti kata saya tidak langsung lagi bimbang saya tidak bertemunya. Saya juga tidak fikirkan walau sejenak kemungkinan gagal bertemu beliau kerana saya yakin Allah akan membantu saya. Nah! Itulah elemen Hukum Tarikan—kita hanya terus fokuskan hasil yang kita harapkan, manakala opsyen kemungkinan sebaliknya langsung tidak wujud lagi dalam fikiran. Kita menggambarkan diri kita sedang bergembira, bersyukur dengan hasil yang diharapkan, seolah-olah hasil itu telah dikecapi, dan tidak memikirkan lagi kemungkinan-kemungkinan sebaliknya. Akhirnya, Alhamdulillah, saya kini memahami bagaimana untuk bertawakkal. Terjawab kemusykilan di hati saya apabila kita sering disuruh bertawakal, tetapi bagaimana tawakkal itu pada praktiknya? Pada realitinya? Sekiranya tidak tercapai apa yang dihajati, kita tidak menyalahkan mana-mana pihak; sebaliknya kita sedar, belum cukup kuat tarikan kita itu, dalam erti kata lain, belum cukup kita bertawakkal. Dengan ini, tidak wujud istilah berputus asa. Ini adalah satu pembebasan dari belenggu perasaan kurang yakin dan kecewa.



Lihat sajalah tawakkal Nabi Allah Ibrahim, ketika baginda a.s. diperintah dibakar oleh Namrud. Baginda yakin sepenuhnya bahawa pertolongan Allah akan tiba. Baginda langsung tidak memikirkan bagaimana pertolongan Allah mungkin datang sedang api sudah mula menjilat tubuhnya; apa yang baginda yakin dan percaya ialah pertolongan Allah pasti akan datang. Persoalan ‘bagaimana’ itu adalah urusan Allah. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Peranan Nabi Ibrahim hanyalah untuk meyakini hakikat bahawa dia akan selamat, tanpa sedikit pun rasa cuak. Baginda hanya merasakan api menjadi dingin, sepertimana kita diberitahu dalam Al-Quran:




“Wahai api! Jadilah kamu dingin dan penyelamat bagi Ibrahim.” — Surah al-Anbiya’, ayat 69.




Sesungguhnya inilah kemuncak amalan Hukum Tarikan: tawakal yang tulen kepada pertolongan Allah. Kita sering mendengar ayat ini:




“Dan Tuhan pun berkata, ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan.” — Surah ar-Ra’d, ayat 31.




Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya. Maka, mintalah, dan kemudian jangan ragu-ragu lagi kalau-kalau permintaan kita tidak dimakbulkan-Nya. Bayangkan hajat kita tercapai, fokuskan hanya kepada itu, dan bergembiralah bahawa Allah akan menunaikan doa kita itu.




Words * Thought * Feelings

Doa * Fokus * Yakin




Inilah Hukum Tarikan dalam Islam. Lebih kerap kita gerakkan getaran positif ke alam ini, dengan izin-Nya, lebih cepatlah apa yang dihajati menjadi milik kita.



Allah Maha Mengetahui … dan saya kasihkan kalian kerana-Nya jua.