Nothing can stop the man with the right mental attitude from achieving his goal; nothing on earth can help the man with the wrong mental attitude.


~ Thomas Jefferson




Elemen pertama dalam Hukum Tarikan ialah mengenal pasti apa yang kita tak mahu. Tetapi, kita mesti sentiasa berwaspada agar jangan sampai ia menjadi fokus pemikiran kita. Bahayanya ialah apa yang kita fokuskan nanti hanya akan menarik getaran atau gelombang yang sama negatifnya ke arah kita semula; dan meletakkan kita dalam keadaan yang lebih bermasalah. Ada benarnya kata orang tua-tua, “masin mulut”. Apa yang kita fikirkan itulah yang akan kita peroleh.



Sebagai contoh, sekiranya kita mempunyai sebuah kereta yang memberi kita masalah, dan kita ingin menukar kereta kita itu, mungkin kita akan memberitahu pada teman/kawan/pasangan kita, “Aku tak mahu kereta buruk ni lagi.” Sudah tentunya dalam berkata demikian, kita mengeluarkan dua gelombang negatif: (a) Kita memfokuskan sesuatu yang kita ‘tidak mahu’ iaitu kereta buruk kita, dan (b) sudah semestinya dalam berkata demikian, dalam benak hati kita, kita membayangkan segala masalah yang kita hadapi dengan kereta tersebut. Dalam erti kata lain, hati kita tak senang dengan kereta buruk kita itu. Nah! Gelombang inilah yang akan kita pancarkan dari hati kita, satu gelombang yang “down” dan negatif, maka percayalah, inilah juga yang akan kembali semula kepada kita. Mungkin sukar untuk dipercayai bukan? Tapi, mari kita renung sejenak. Dalam kalangan kita, saya pasti telah pernah berlaku hal ini dalam hidup kita, biarpun hanya sekali. Sebaik sahaja kita kata kita hendak beli kereta baru, maka ada-ada sahajalah masalah yang mula timbul dengan kereta kita itu. Sehingga akhirnya kita mengeluh dan merungut, “Eh, sebut aja nak jual, buat hal pula kereta ni, asyik nak meragam saja”. Pernahkah ini berlaku pada anda? Mungkin bukan dengan kereta, mungkin dengan peti ais, dengan set stereo hi-fi dsb. Mungkin juga dengan rumah yang kita nak jual! Sampai kadangkala kita komen secara berseloroh, “Kereta/rumah/peti ais aku ni … sebut aja nak jual, dia merajuk pula!”



Mana mungkin benda-benda itu merajuk! Sebenarnya apa yang berlaku ialah “law of attraction in action”. Diri kita sendiri yang, dalam sedar tak sedar, telah memberikan tumpuan kita pada masalah kita, dan kita sendiri yang telah membenarkan ia berlegar dalam minda dan hati kita, sehingga akhirnya ia mengeluarkan satu getaran negatif yang kemudiannya menarik gelombang-gelombang rendah yang sama frekuensi dengan getaran negatif yang kita pancarkan sendiri … dan itulah hasilnya. Yang rosak bertambah rosak, yang lemah bertambah lesu, dan yang bermasalah, berganda lagi masalahnya.



Mari kita lihat satu lagi contoh yang sama tapi tak serupa. Sering kita berdialog dengan diri sendiri, dan mungkin ada masanya juga kita luahkan pada teman yang boleh kita percayai. “Hidup aku ni bosanlah—aku nak happy-happylah.” Namun, keriangan, keceriaan, dan kebahagiaan yang kita cari itu tidak juga kunjung tiba. Puncanya mudah sahaja. Walaupun kita kata kita mahu gembira, tapi fokus dan tumpuan dalam hati kita ialah betapa bosannya hidup kita ini. Maka itulah gelombang yang terpancar keluar ke alam semesta; itulah doa yang sampai ke langit, dan itulah yang akan kembali semula pada kita.



Saya kira, kalian telah mula nampak gambarannya. Bukan sekadar kita berkata-kata, “Aku mahu kereta baru, aku mahu rumah baru, aku mahu kaya,” tetapi yang lebih penting ialah apa perasaan yang kita sematkan dalam hati—niat yang kita pancarkan keluar dalam bentuk gelombang tanpa bunyi itu. Dan apa yang kita fokuskan itu mestilah dalam bentuk yang betul; yang positif. Pada satu-satu masa, hanya boleh wujud satu perasaan dalam hati kita — positif atau negatif. Maka, yang penting ialah mewujudkan dan kemudian mengekalkan perasaan positif itu dalam fikiran dan seluruh ruang hati kita. Kita mahu kaya, wujudkan niat yang betul, buangkan segala yang negatif, fikirkan yang positif dan insya-Allah gelombang itulah yang akan nanti menarik gelombang-gelombang lain yang sama frekuensi dan menjadi doa yang mustajab. Akan adalah peluang dan ruang untuk kita berusaha menambah rezeki. Tapi, apa yang penting ialah keyakinan jitu kita bahawa apa yang kita hajati itu akan tercapai; bagaimana ia tercapai, sebenarnya itu adalah urusan Allah. Kita hanya perlu yakin Allah akan menunaikan janji-Nya dan bersyukur kepada-Nya. Bagaimana caranya kita mensyukuri nikmat-Nya? Inilah yang menjadi elemen seterusnya dalam Hukum Tarikan. Insya-Allah ini akan saya bincangkan kemudian.



Maka kesimpulannya, perkara awal untuk kita mulakan langkah mengamalkan Hukum Tarikan ini dan seterusnya mengubah hidup kita ke arah kejayaan dan kecemerlangan ialah dengan mengenal pasti apa yang kita tak mahu. Tapi awas, cukup setakat itu. Jangan kita fikir-fikirkan, jangan kita jadikan tumpuan fokus kita. Cukuplah peranannya sebagai memberitahu kita apa yang kita mahu sebenarnya. Kemudian, dalam meminta apa yang kita hajati itu, berwaspada juga dengan kata-kata yang kita ucapkan, kerana ianya nanti akan mempengaruhi perasaan dan kata hati kita pula. Dan kata hati inilah yang sebenarnya nanti menghantar gelombang ke luar yang akan menarik gelombang seumpamanya kembali kepada kita semula.



Saya juga telah cuba menunjukkan bahawa pada satu-satu masa tertentu, hanya satu perasaan yang boleh mempengaruhi kita — positif atau negatif. Tak mungkin orang gembira itu bersedih, tak mungkin orang marah itu tenang dalam satu masa serentak. Jika gelombang positif yang kita pancarkan, maka yang positif jugalah yang akan tertarik padanya. Maka, di sini, menjadi tanggungjawab kita supaya sentiasa berusaha memancarkan gelombang positif. Ini boleh kita usahakan jika kita sentiasa mengelakkan penggunaan frasa-frasa negatif dalam hidup seharian kita. Contoh yang selalu saya dengar (dan saya juga pernah dalam situasi sedemikian) ialah:



“Bosannya aku”


“Kalaulah aku …”


“Aku bukan tak boleh, tapi …”


“Aku tahu, tapi dia …”


“Menyampah betul …”


“Bengang betul … siot betul …”


“Kenapa orang lain jadi, aku tak jadi ni haa?”


“Dah memang aku ditakdirkan begini …”



Sedarlah kita kini, semua frasa-frasa di atas memancarkan gelombang negatif yang akhirnya nanti hanya akan menarik gelombang-gelombang negatif yang lain kepada kita semula. Mari kita sama-sama berusaha secara sedar mulai sekarang, untuk melebihkan ucapan-ucapan positif daripada yang berunsur negatif. Ingatlah, jaga apa yang kita pertuturkan, mulut kita memang “masin”.



Beberapa contoh bagaimana kita boleh ubah ungkapan negatif kepada yang positif. Setiap kali kita perasan diri kita mengatakan “Tak” atau “Jangan” kita ubahkan pola ayat menjadi positif.










NegatifPositif
“Kenapa TAK telefon?”“Nanti telefon ya.”
“Aku TAK mahu gagal.”“Insya-Allah lulus,”
“JANGAN lambat.”“Kita jumpa tepat pada masa ya.”
“JANGAN panik.” “Bertenang.”
“Sunyinya aku.”“Allah bersamaku.”
“Aku TAK mahu dilukai.”“Aku redha.”
“Aku TAK mahu tersilap lagi.”“Aku lebih matang kini.”
“Aku sedih.”“Insya-Allah aku ceria selalu.”
“Aku bosan.”“Alhamdulillah, besarnya nikmat masa yang Allah kurniakan.”


Saya yakin kita semua boleh merasakan suatu perubahan perasaan dalam hati sebaik sahaja kita tukarkan ungkapan-ungkapan negatif di atas menjadi positif. Ada satu titik atau ruang di dalam rongga dada kita yang terasa hangat, yang boleh bertukar menjadi satu “beat” atau getaran yang lebih bertenaga dan lebih selesa. Inilah gelombang positif yang kita pancarkan dan nantinya akan menarik apa jua yang positif kembali kepada kita semula. Inilah yang mesti kita usahakan—perasaan “I feel good”. Kata-kata boleh kita maniskan; tetapi bak seni kata dalam sebuah lagu lama yang amat saya minati, “Tetapi hati ini, tidak dapat dibohongi, bila berjauhan, kita kerinduan.”



Begitulah! Saya merindukan kalian bersama-sama saya mengecap kebahagiaan dan reda Allah, dalam satu kehidupan yang penuh bahagia dan ceria. Apakah caranya untuk kita kekalkan rasa positif ini? Bicara kita masih jauh. Memadailah buat masa ini, saya tinggalkan kalian dengan ayat-ayat suci Allah ini. Yakinlah, dan seraplah sepenuhnya dalam lubuk sanubari kita, akan janji-janji Allah ini:




“Bukankah Kami telah melapangkan dadamu? Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu, yang memberatkan tanggunganmu? Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu? Kerana sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmu hendaknya kamu berharap.”


~Surah al Insyirah, ayat 1–8



Kerana-Nya jualah, saya kasihkan kalian.