Saya kira, ramai dalam kalangan kita seringkali membuat resolusi baru pada masa-masa tertentu dalam hidup masing-masing. Yang nyata, ramai memperbaharui azam setiap kali tahun baru menjelang. Malangnya, dengan segala kesungguhan dan keazaman yang kita genggam ketika membuat resolusi baru tersebut, ia hanyut di pertengahan jalan; umpama sampan yang tertambat di persisiran pantai, terlerai ikatan lalu dibawa arus, perlahan-lahan hanyut ke lautan.



Mengapa saban kali itu yang berlaku? Mengapa payah sekali kita beristiqamah dengan janji-janji yang kita buat ke atas diri sendiri?



Di sini saya ingin berkongsi cerita sedikit tentang sesuatu yang mungkin ada kaitannya dengan apa yang ingin saya fokuskan di sini. Anak bongsu saya, ketika berusia empat tahun telah saya daftarkan belajar di tadika Islam dengan harapan agar dia mengenali Deen-nya dari usia muda lagi. Pada suatu hari, beliau telah pulang dengan muka yang muram dan runsing. Bila ditanya, saya amat terkejut bila beliau mengatakan beliau tidak suka pada Allah. Subhanallah … apa yang telah berlaku? Setelah saya cuba mencungkil dengan cara pujuk rayu, barulah beliau menceritakan, “Cikgu kata, satu hari nanti, Allah akan matikan Ummi, matikan Abah, matikan Abang, matikan semua orang dan hancurkan bumi. Allah jahat,” katanya penuh cemas. “Anak Ummi tak mahu Ummi mati.”



Apa yang saya nak sampaikan di sini ialah jiwa kita secara fitrahnya tak mahu pada kesusahan, kesengsaraan, kesedihan serta sebarang kekurangan. Saya yakin dan pasti, bukan tujuan guru tadikanya untuk mematahkan semangatnya; kemungkinan dia hanya bertujuan untuk meletakkan rasa takut akan azab Allah. Tetapi, apa yang berlaku adalah yang sebaliknya, iaitu anak saya makin ‘tidak suka’ pada Allah.



Begitu juga halnya kita ini. Apabila kita membuat sesuatu resolusi, biasanya kita ingin menghentikan sesuatu yang negatif pada diri kita; contohnya, ingin berhenti merokok. Atau mungkin juga kita ingin mencapai sesuatu, misalnya menginginkan berat badan yang ideal.



Walaupun kedua-dua resolusi itu seolah-olah berlainan polarnya, yang satu ingin menolak yang negatif dan yang kedua tampak positif, hakikatnya kedua-duanya memberitahu alam separa sedar kita akan kekurangan pada diri kita—iaitu kita ada tabiat kuat hisap rokok (negatif) dan kita mempunyai tubuh badan yang tidak normal, biasanya terlebih (negatif juga). Dan bila itu yang kita fokuskan dan itu yang kita berikan tumpuan, itulah yang kita tekankan dalam resolusi kita; maka menurut Hukum Tarikan, itulah yang akan kita tarik ke arah diri kita.



What we think, we attract.



Maksud saya di sini adalah dengan membuat resolusi sedemikian, kita baru hanya mengenal pasti apa yang kita tidak mahu. Ini cuma permulaannya—prinsip pertama dalam Hukum Tarikan ialah:




1. To identify what we DON’T WANT.




Percayalah … Hukum Tarikan ini wujud dalam jiwa manusia sama seperti wujudnya hukum tarikan graviti di bumi; kedua-duanya daya yang tidak dapat dilihat, tetapi tetap memberi kesan. Maka, malang sekali bagi kita jika segala usaha kita menemui kegagalan kerana kita jahil tentang Hukum Tarikan ini, sedangkan pengetahuan yang jelas mengenainya serta penggunaan hukum ini dalam kehidupan seharian kita pasti akan mampu membantu merubah cara pemikiran dan amalan-amalan kita ke arah yang jauh lebih positif dan lebih berjaya.



Seperti mana hukum-hukum fizik yang lain, Hukum Tarikan ini mempunyai prinsip-prinsipnya yang tertentu, yang mesti diikuti dengan tertib untuk mendapatkan hasil yang mantap lagi bermakna, insya-Allah.



Ajaran Islam melalui Al-Quran menceritakan tentang ancaman-ancaman Allah untuk, antara lainnya, menunjukkan pada kita apa yang patut kita berusaha menjauhinya dalam hidup kita sebagai seorang Muslim. Tapi jangan kita lupa, Al-Quran juga penuh dengan kisah-kisah keindahan hidup dalam ketaatan kepada Allah, dengan nilai-nilai akhlak yang boleh membawa kepada ketenangan jiwa dan kebahagiaan hakiki bagi mereka yang berusaha mencapainya. Ini merupakan prinsip berikut dalam Hukum Tarikan ini.



Islam dan Al-Quran sebenarnya telah mendahului semua perbincangan tentang Law of Attraction yang diketengahkan oleh pakar-pakar bidang ini hari ini; seperti Rhonda Byrne (The Secret), Michael J. Losier (Law of Attraction), Joe Vitale (The Key).



Saya mempunyai hasrat dan cita-cita yang tinggi untuk mengajak kalian bersama-sama dengan saya meneroka Hukum Tarikan ini, Hukum Sunnah Allah, yang mempunyai potensi besar dalam membantu kita menjadi Muslim yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing di muka bumi ini. Janganlah rahmat yang Allah turunkan untuk manusia sejagat ini kita persiakan kerana kejumudan pemikiran kita memikirkan Law of Attraction ini sebagai sesuatu yang dicipta dan dipelopori oleh Barat.



Yakinlah bahawa ia datang daripada Allah jua, dan amat rugilah jika kita bersikap prejudis dengan mutiara yang kini digilap dan dimanfaatkan oleh kaum yang menolak Allah.



and by the way, saya kasihkan kalian kerana Allah jua.