The key to having whatever your most divine heart desires — bar nothing — is finding a way to feel good about your Want: not wish for it, yearn for it, long for it, sigh for it, or feel discouraged about it; but just feel good about it.


Setelah kita tahu apa yang kita tidak mahu, dan mengenal pasti apa sebenarnya yang kita hajati, bagaimanakah caranya untuk kita mendapatkan apa yang dihajati itu?


Penyelesaiannya? Ubah perasaan kita!


Mari kita lihat bersama. Apabila ada sesuatu yang benar-benar kita hajati, fikirkan sebentar akan hajat kita itu, dan kemudian kenal pasti perasaan kita pada ketika itu. Sekiranya dengan memikirkan apa yang kita hajati mendatangkan perasaan sedih, kurang selesa, sayu, dan putus asa, maka sebenarnya kita sedang memberikan tumpuan pada apa yang kita tidak mahu, dan ini akan menyebabkan jiwa memancarkan getaran negatif.


Sebaliknya, jika kita berasa seronok, teruja, gembira — walaupun sedikit — maka insya-Allah kita menepati sasaran dan sedang mula menggerakkan getaran positif ke alam semesta.


Inilah cabaran kita dalam Hukum Tarikan ini: mengekalkan raza teruja, gembira dan positif ini supaya gelombang itu nantinya akan menarik gelombang-gelombang positif yang lain yang akhirnya menjadi doa yang telah dijanjikan Allah akan dimakbulkan. Walaupun kita belum dapat membayangkan bagaimana cara untuk mendapatkan apa yang kita hajati itu, namun, hidupkan perasaan yakin dalam hati — bayangkan seolah-olah apa yang dihajati itu telah pun berada dalam genggaman … ah, betapa seronoknya perasaan itu!




  • Rasakan betapa seronoknya mendapat segulung ijazah itu walaupun kelas semester pertama belum pun bermula lagi.

  • Bayangkan dan rasakan seronoknya bekerja di pejabat baru setelah kita dinaikkan pangkat dan kita seronok dengan jawatan baru itu, walaupun kenyataannya kita baru dicalonkan.

  • Bayangkan dan rasakan seronoknya kita dengan pasangan yang kita inginkan selama ini — melakukan segala-galanya bersama-sama dan hati begitu girang sekali kerana berada di sisinya — walaupun dalam realiti kita belum bertemunya lagi.


Sekiranya perkara-perkara di atas yang kita hajati lalu demikian kita bayangkan, apa yang sebenarnya kita buat ialah memesongkan tumpuan kita daripada keadaan kekurangan kita kepada apa yang sebenarnya kita hajati. Apabila tumpuan kita pada betapa seronoknya dan bahagianya mencapai apa yang dihajati, jiwa dan perasaan kita juga turut berubah menjadi lebih ceria. Keceriaan ini seterusnya menghantar gelombang positif ke persekitaran kita, dan menarik gelombang-gelombang yang juga positif yang membantu mempercepat tercapainya hajat dan doa kita, insya-Allah.


Dalam Al-Quran jelas Allah hanya mahu mendengar suara hati kita. Perhatikan kata-kata Allah:


“Dan sungguh, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya...” ~Surah Qaf, ayat 16


Dalam buku Fiqhud-Du’a, Sa’id al-Lahham mengatakan bahawa jika suara lidah bertepatan dengan suara hati, Allah akan mengabulkan apa sahaja yang kita inginkan. Sebaliknya, jika suara lidah bertentangan dengan suara hati, doa kita akan tertangguh pula. Maka, adalah penting untuk kita menumpukan perhatian pada suara hati dan lidah yang saling memberi tenaga. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam lubuk hati kita. Maka tentulah apabila kita meminta tanpa perasaan dan ketulusan hati, doa kita tidak dimakbulkan. Hal ini demikian kerana doa kita tidak mempunyai tenaga yakin. Kita mungkin mengungkapkan kata-kata indah, tetapi suara hati kita tidak seirama senada dengan apa yang kita tuturkan secara lisan. Ingatlah selalu akan hadis Qudsi berikut:


“Aku adalah sebagaimana prasangka hamba-Ku terhadap Aku; maka seharusnya dia memliki prasangka yang baik terhadap Aku.”


Selama mana kita berterusan menghantar gelombang positif kepada alam, maka lebih kerap dan lebih banyaklah kita menarik gelombang-gelombang positif ke arah kita pula. Semua ini mempercepat proses tercapainya apa yang dihajati. Rasa yakin dengan Allah dengan prasangka baik bahawa Allah akan memakbulkan apa yang kita doakan adalah satu senjata yang amat bertenaga untuk menarik kebaikan ke arah kita jua.


“Once you know what you want, you must find the FEELING PLACE of having that Want, while at the same time staying out of the feeling place of not having it.” ~Lynn Grabhorn


Maka persoalannya kini, bagaimanakah caranya untuk kita terus-menerus mengekalkan dan memancarkan getaran-getaran positif ini? Bagaimanakah caranya untuk kita terus-menerus berprasangka baik dengan Allah? Bagaimanakah caranya untuk kita mengekalkan rasa yakin dengan janji-janji Allah ini?


Di sini saya akan menyebutkan dahulu dua pendekatan yang saya sendiri gunakan setelah mengkajinya. Dan insya-Allah dari semasa ke semasa akan saya selitkan pendekatan-pendekatan lain di mana sesuai:

1. Bukan sekadar mahu, tetapi berniat/berhajat (intend)


Apabila kita berniat atau berhajat akan sesuatu; ia bemaksud kita ‘mempunyai pelan, objektif dan matlamat’ (Kamus Dwibahasa Longman). Kita boleh mulakan dengan hajat yang kecil, yang kita buat setiap hari. Keinginan begini akan membuat kita teruja, dan ini seterusnya menjadikan jiwa kita bertenaga lalu memancarkan getaran yang positif. Setiap pagi saya bangun dengan lafaz doa ini: “Alhamdulillahillazi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihin-nusyur”. Dan saya jadikan doa ini sebagai niat saya untuk terus berasa ceria sepanjang hari. Dan sesungguhnya ia boleh menjadi kenyataan apabila saya memecah-mecahkannya kepada hajat-hajat yang lebih kecil. Contohnya:



  • Hari ini saya bercadang nak pakai warna kegemaran saya.

  • Hari ini saya bercadang tiba awal ke sekolah, dan tidak rushing dalam jam.

  • Hari ini saya bercadang untuk peluk anak-anak saya sebelum mereka ke sekolah.

  • Hari ini saya bercadang untuk murah rezeki; selera saya bagus.


... dan seterusnya. Bila tercapai saja satu hajat, saya buat hajat-hajat yang lain dan teruskan berasa ceria. Percayalah! Jika kalian bangun pagi dengan niat mahu ceria, insya-Allah sesungguhnya cerialah kalian pada hari itu. Jangan meraguinya sebelum anda mencubanya. Pada suatu ketika, saya pernah mengalami tekanan dan apabila bangun sahaja daripada tidur, tekanan itulah yang mula-mula menerjah di kepala. Setelah memahami Hukum Tarikan ini, saya sememangnya bercadang untuk menceriakan diri; lalu saya pasangkan niat sedemikian walaupun masalah tetap ada. Dengan tidak semena-mena saya menerima SMS daripada seorang kawan yang telah lama menghilang. Beliau menghantar mesej kata-kata semangat yang benar-benar memotivasikan saya pagi itu dan cukup menggembirakan hati saya! Percayalah, getaran postif yang kita pancarkan keluar akan menarik yang positif juga kepada diri kita. Kemudian, saya pasangkan niat untuk murah rezeki tanpa saya memberi tumpuan bagaimana rezeki itu akan datang. Pada saya, urusan itu saya serahkan saja pada Allah. Of all days, pada hari itulah saya telah menerima RM400.00 sebagai cenderahati tertangguh daripada sebuah sekolah di mana — dari semasa ke semasa — saya datang membantu pelajar-pelajarnya secara suka rela. Dan saya tak pernah pun menuntut bayaran daripada pihak sekolah itu!


Tapi apa pun, dengan kita memasang niat untuk sesuatu yang positif, sebenarnya itu sudah memadai untuk menceriakan kita dan seterusnya menggerakkan getaran positif dari dalam diri kita ini.


2. Senyuman Syukur (Gentle Inner Smile)


Ya! Senyuman adalah satu pendekatan paling mujarab untuk mewujudkan dan seterusnya memancarkan getaran positif dalam diri kita. Senyuman syukur ini tampak dari luar sebagaimana senyuman biasa yang lain, tetapi hakikatnya ia bermula daripada suatu perasaan dari dalam diri kita — satu perasaan syukur atas segala kejadian ciptaan Tuhan, dan disertai rasa kasih sesama makhluk dan juga apa saja di muka bumi ini. Kita hanya perlu memikirkan satu peristiwa yang menggembirakan, atau melihat satu objek yang mengingatkan kita kepada satu detik gembira, dan kita akan merasai perasaan seronok itu bermula dari lubuk hati kita hingga akhirnya terpancar sebagai satu senyuman yang lembut ... senyuman yang datang daripada kesyukuran. Selalu saya pegang loket di leher saya ini, kerana ia sentiasa membuat saya tersenyum syukur apabila saya teringat bahawa loket ini dibeli oleh anak saya ketika beliau berusia sepuluh tahun dengan wang simpanannya sendiri. Dan tujuan dia membelikan loket emas itu adalah semata-mata kerana dia bimbang sekiranya dia tidak sempat membelikan saya barang kemas untuk menggembirakan saya. Dia telah memecahkan tabung dan membayar harga loket itu dengan wang syiling simpanannya semata-mata. Saya sungguh terharu dan setiap kali teringat akannya saya pasti ceria dan bersyukur kerana mempunyai anak yang sungguh sayang akan umminya.


Sebenarnya kita tak perlu mengaitkan sebarang peristiwa untuk menjadi ceria. Setelah mengenali Hukum Tarikan ini, saya memanifestasikan doa saya dalam bentuk perasaan hati yang cukup menenangkan dan menceriakan hati saya. Setiap pagi, selepas solat subuh dan selepas berdoa, saya mengambil sedikit masa untuk menyelami perasaan saya. Dalam setiap doa, kita lazimnya memohon ampun daripada Allah. Dalam kesunyian pagi, sesudah subuh, sebelum saya memulakan aktiviti harian saya, saya akan memejamkan mata saya sambil duduk di atas sejadah, dan membayangkan betapa seronoknya jiwa yang diampunkan Allah. Saya membayangkan betapa beruntungnya jiwa yang dikasihi Allah, saya membayangkan Allah menyayangi saya, dan mengampunkan dosa saya kerana kasihnya Allah pada hamba-Nya. Saya seterusnya membayangkan pula diri saya mencintai Allah dan membayangkan diri saya mentaati perintah Allah, memenuhi hidup saya pada hari itu dengan amal-amal yang baik dan diredai Allah. Sesungguhnya hanya Allah yang tahu akan perasaan jiwa dan hati saya apabila saya membayangkan gambaran seperti itu. Reda Allah bersama saya, dan reda saya bersama Allah. Ketika itu hanya saya dan Allah sahaja … my very own private moment! Saya membayangkan Allah mengetahui kelemahan saya dan apa jua yang dalam hati saya ini. Ini benar-benar menghidupkan rasa syukur dalam jiwa saya. Percayalah, perasaan syukur ini merupakan satu tenaga penggerak positif yang cukup mantap. Apabila kita berasa cukup dengan apa yang kita ada, pada masa yang sama kita merasakan kita boleh mencapai apa sahaja yang kita hajati dalam hidup ini. Saya merasakan masih ada harapan buat saya kembali kepada-Nya, walaupun saya insan yang banyak melakukan kesilapan.


“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Aku akan menambah (nikmat) kepadamu...” ~Surah Ibrahim, ayat 7


“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.” ~Surah al Baqarah, ayat 152


Insya-Allah, pendekatan-pendekatan lain akan sama-sama kita lihat kemudian.


Dan kerana kasih’kan Allah, maka saya kasih’kan kalian juga.