The Law of Attraction responds to whatever vibration you are sending by giving you more of it, whether it’s positive or negative. It simply responds to your vibration. — Michael J. Losier



Hukum Tarikan adalah suatu hukum fizik yang tidak mengenal kaum, jantina mahupun keturunan. Asasnya mudah sahaja—apa yang kita fikirkan, yang kita beri tumpuan, itulah yang akan kita tarik ke dalam hidup kita. Jika tumpuan kita adalah kepada kekurangan pada diri kita yang ingin kita perbaiki, itu belum memadai; malah lebih berbahaya, kerana tumpuan kita adalah terhadap kekurangan atau masalah dan inilah nanti yang akan kembali ke dalam diri kita.



Dalam kehidupan seharian kita, kita terpengaruh dengan apa yang kita terima, kita dengar dan kita perhatikan di sekeliling kita. Dan dalam kita memerhati dan berinteraksi ini, kita membuat tanggapan dan penilaian yang seterusnya menetapkan mood atau perasaan kita. Joe Vitale, dalam bukunya The Key, mensifatkan mood atau perasaan ini sebagai satu bentuk tenaga, manakala Losier pula menyatakan tenaga ini dalam bentuk getaran yang tidak kelihatan tetapi tetap terpancar keluar—gelombang perasaan yang boleh berupa negatif atau pun positif.



Menurut Hukum Tarikan, gelombang yang kita pancarkan ini akan menarik gelombang-gelombang lain yang sama frekuensinya dengan gelombang yang kita pancarkan itu. Maka, ini bermakna apa-apa mood atau gelombang perasaan yang kita pancarkan, akan menarik gelombang perasaan atau mood yang serupa ke arah kita. Satu hukum fizik yang straightforward. Maka akhirnya wujudlah kita dalam satu kitaran gelombang yang dirangsangkan oleh apa yang kita perhatikan pada diri kita atau pun persekitaran kita.



Lynn Grabhorn, dalam bukunya Excuse Me, Your Life is Waiting, menceritakan bagaimana apabila perniagaannya merosot, beliau berusaha untuk membaiki keadaan kewangannya dengan pelbagai cara, tetapi tanpa disedarinya, jauh di sudut hatinya, beliau sentiasa bimbang jika perniagaannya itu tidak dapat dipulihkan. Maka, walaupun beliau berazam untuk membaiki keadaan kewangannya, tetapi perasaan yang sebenar dalam jiwanya ialah bimbang tentang perniagaannya menghadapi masalah kewangan. Maka, perasaan inilah sebenarnya menjadi getaran mesej yang dikeluarkan; yang akhirnya menarik getaran negatif kembali ke arah dirinya. Akibatnya, keadaan beliau menjadi lebih tertekan. Keadaan kewangannya menjadi semakin parah. Sehinggalah akhirnya beliau mengalihkan fokusnya kepada yang lebih positif, beliau membayangkan keadaan yang lebih stabil sambil melayani perasaan seronok berada di dalam gambaran sedemikian, walaupun pada realitinya beliau tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat. Tetapi secara tiba-tiba, bantuan mulai datang dari pihak-pihak yang tidak disangka dan perniagaannya terselamat. Inilah sebenarnya prinsip kedua dan ketiga dalam Law of Attraction, Hukum Tarikan:




  1. Identify what you don’t want

  2. Identify what you DO WANT

  3. Find the feeling place of your WANT

  4. Expect, listen, and allow the universe to deliver.



Satu contoh yang lebih dekat dengan kita mungkin ialah seorang hamba Allah yang saya kenal rapat sering merungut setiap kali menghampiri lampu isyarat jalan raya ketika memandu.



“Kalau aku dah dekat ni nanti, mesti lampu hijau ni bertukar kuning.”



Teka sajalah apakah yang agaknya berlaku … sememangnya lampu menjadi kuning, kerana beliau menghantar getaran demikian ke alam sekitar, dan alam bertindak balas dengan getaran tersebut. Walaupun tidak dilafaz, tetapi kalau itu yang menjadi kepercayaannya, itulah yang akan diperolehinya.



Contoh yang lain ialah apabila saya dan suami pergi menunaikan umrah satu ketika dulu. Selipar Jepun yang dipakainya ke masjid sentiasa hilang selepas solat. Untuk mengelak kehilangan selipar untuk kesekian kalinya, beliau telah meletakkan selipar Jepunnya itu dengan diapit oleh sandal saya yang harganya sepuluh kali lebih mahal daripada selipar Jepunnya itu. Kedua-dua selipar kami ini diletakkan di rak kasut yang berpetak. Sebelum masuk ke dalam Masjidilharam, sempat suami saya bersuara, “Nanti, jangan-jangan selipar Abang jugak yang ‘kena kebas’.”



Di Tanah Haram, tempat segala kata-kata menjadi doa mustajab, rasa-rasanya boleh tekalah selipar siapa yang ‘kena kebas’. Pada ketika kejadian itu berlaku, saya tak tahu menahu lagi tentang Hukum Tarikan ini. Saya cuma tergelak geli hati sambil memberitahu apa yang kita semua akan cakap, “Masin mulut Abang.”



Maka, dalam Hukum Tarikan ini, kata-kata kita menjadi senjata yang berbahaya jika disalahgunakan. Kita mesti berhati-hati dengan apa yang kita tuturkan. Kata-kata kita mencorakkan pemikiran kita, dan pemikiran pula menentukan perasaan kita mengenai sesuatu perkara itu. Perasaan dalam hati inilah yang menghantar gelombang yang akan menarik gelombang yang sepunya ke arah kita kembali. Positif gelombang yang dihantar, positiflah yang akan datang kepada kita. Jika negatif gelombang yang dihantar, maka bersedialah: perkara negatif yang sama, atau pun yang bergetar pada frekuensi yang sama yang bakal kembali kepada kita semula.



Satu lagi contoh bagaimana lintasan hati memberi kesan kepada kita. Sekali lagi saya mengutarakan kejadian yang berlaku di tempat kata-kata paling mustajab—di Tanah Suci Mekah. Sambil menunggu hari wukuf di Arafah, para jemaah semakin ramai membanjiri Tanah Suci Mekah, sehingga kelihatan seperti lautan manusia bila tiba waktu solat. Saf-saf melimpah sampai ke perkarangan Masjidilharam apabila tiba waktu solat. Selepas solat, jemaah pun berselerakan seperti semut keluar dari busut. Suami saya telah berpesan agar saya tunggu di satu sudut luar masjid sekiranya saya keluar dahulu. Bayangkan, dari jauh, dengan terik panas selepas solat zohor, bagaimana mungkin untuk saya mengenal pasti susuk tubuh suami saya? Dalam kebimbangan, akhirnya saya nekad dan berdoa pada Allah, “Ya Allah, dalam lautan manusia ini, kau tunjukkan suamiku padaku.”



Masya-Allah, di celah-celah lautan manusia yang banyak, saya telah dinampakkan susuk tubuh suami saya!



Pada saya, itulah yang paling dekat saya memahami dengan sebenarnya erti tawakkal. Malangnya, saya gagal menghayati maksud tawakkal seperti itu lagi, sehinggalah minda saya digerakkan semula apabila saya mengamalkan Hukum Tarikan ini. Apabila saya bertawakal untuk dipertemukan dengan suami saya di tengah-tengah lautan manusia itu, saya nekad dalam erti kata saya tidak langsung lagi bimbang saya tidak bertemunya. Saya juga tidak fikirkan walau sejenak kemungkinan gagal bertemu beliau kerana saya yakin Allah akan membantu saya. Nah! Itulah elemen Hukum Tarikan—kita hanya terus fokuskan hasil yang kita harapkan, manakala opsyen kemungkinan sebaliknya langsung tidak wujud lagi dalam fikiran. Kita menggambarkan diri kita sedang bergembira, bersyukur dengan hasil yang diharapkan, seolah-olah hasil itu telah dikecapi, dan tidak memikirkan lagi kemungkinan-kemungkinan sebaliknya. Akhirnya, Alhamdulillah, saya kini memahami bagaimana untuk bertawakkal. Terjawab kemusykilan di hati saya apabila kita sering disuruh bertawakal, tetapi bagaimana tawakkal itu pada praktiknya? Pada realitinya? Sekiranya tidak tercapai apa yang dihajati, kita tidak menyalahkan mana-mana pihak; sebaliknya kita sedar, belum cukup kuat tarikan kita itu, dalam erti kata lain, belum cukup kita bertawakkal. Dengan ini, tidak wujud istilah berputus asa. Ini adalah satu pembebasan dari belenggu perasaan kurang yakin dan kecewa.



Lihat sajalah tawakkal Nabi Allah Ibrahim, ketika baginda a.s. diperintah dibakar oleh Namrud. Baginda yakin sepenuhnya bahawa pertolongan Allah akan tiba. Baginda langsung tidak memikirkan bagaimana pertolongan Allah mungkin datang sedang api sudah mula menjilat tubuhnya; apa yang baginda yakin dan percaya ialah pertolongan Allah pasti akan datang. Persoalan ‘bagaimana’ itu adalah urusan Allah. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Peranan Nabi Ibrahim hanyalah untuk meyakini hakikat bahawa dia akan selamat, tanpa sedikit pun rasa cuak. Baginda hanya merasakan api menjadi dingin, sepertimana kita diberitahu dalam Al-Quran:




“Wahai api! Jadilah kamu dingin dan penyelamat bagi Ibrahim.” — Surah al-Anbiya’, ayat 69.




Sesungguhnya inilah kemuncak amalan Hukum Tarikan: tawakal yang tulen kepada pertolongan Allah. Kita sering mendengar ayat ini:




“Dan Tuhan pun berkata, ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan.” — Surah ar-Ra’d, ayat 31.




Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya. Maka, mintalah, dan kemudian jangan ragu-ragu lagi kalau-kalau permintaan kita tidak dimakbulkan-Nya. Bayangkan hajat kita tercapai, fokuskan hanya kepada itu, dan bergembiralah bahawa Allah akan menunaikan doa kita itu.




Words * Thought * Feelings

Doa * Fokus * Yakin




Inilah Hukum Tarikan dalam Islam. Lebih kerap kita gerakkan getaran positif ke alam ini, dengan izin-Nya, lebih cepatlah apa yang dihajati menjadi milik kita.



Allah Maha Mengetahui … dan saya kasihkan kalian kerana-Nya jua.