Saya menulis catatan ini menggunakan netbook saya yang baru. Pertama kali saya terlihat netbook adalah di rumah kakak saya; netbook kepunyaan cucunya. Saya pun mencuba-cuba netbook itu dan merasakan bahawa alat yang cuma seberat satu kilogram ini amat sesuai buat saya. Saiznya yang kecil membolehkan ia diangkut ke mana saja—cukup sesuai untuk orang macam saya. Saya menulis blog (buat masa ini sedang dalam proses menulis novel yang kedua); saya juga seorang guru yang sentiasa ada saja tugas yang memerlukan saya menaip. Saya benar-benar telah jatuh cinta pada netbook!



Lalu saya aplikasikan sepenuhnya Hukum Tarikan (Law of Attraction) untuk mendapatkan hajat saya ini.



Genap seminggu kemudian, hajat saya tercapai. Netbook yang diidam-idamkan kini dalam genggaman!



Ini cuma satu contoh daripada beberapa contoh lain, dalam pengalaman hidup saya, di mana Hukum Tarikan atau Law of Attraction ini menjadikan apa yang saya idam-idamkan, apa yang saya angan-angankan, dan apa yang saya cita-citakan sebagai kenyataan. Saya benar-benar teruja mengamalkan hukum alam, atau hukum fizik ini.



The Law of Attraction may be defined as: I attract to my life whatever I give my attention, energy, and focus to, whether positive or negative.—Michael J. Losier.



Dalam erti kata lain, apa sahaja yang kita fokuskan, fikirkan, dan yang kepadanya kita curahkan segala tenaga dan tumpuan kita, tidak kira perkara positif atau negatif, akan datang ke dalam hidup kita. Apa sekalipun!



Oleh itu, kita harus berhati-hati akan apa yang kita fikirkan dan ke mana kita curahkan tumpuan dan tenaga kita, kerana kita hanya akan menarik perkara itu ke arah diri kita. Jika kita memikirkan perkara positif, misalnya bertambah rezeki, maka kita sebenar-benarnya sedang menarik rezeki. Sebaliknya jika tumpuan dan fokus kita adalah kepada masalah hutang yang menimbun, maka perkara itulah yang akan kita tarik. Akhirnya, makin kita fokuskan pemikiran kita untuk tidak berhutang, makin bertambah beban hutang yang bakal kita tanggung.



Inilah Law of Attraction, Hukum Tarikan.



Dengan tidak bersifat prejudis, tidak mengira bangsa atau jantina, dan tidak mengira kaya atau miskin, Hukum Tarikan ini akan terus memberi kita apa yang kita fokuskan—apa yang kita doakan saban hari. Inilah Hukum Alam.



Menyedari hakikat ini, dan juga melalui pengalaman peribadi saya sendiri, saya rasa terpanggil dan teruja untuk berkongsi khazanah berharga yang saya temui ini dengan semua. Manfaatnya terlalu besar—mudah kata—sehingga kita boleh mengubah hidup kita kepada sesuatu yang jauh lebih positif dan menyeronokkan. Kitalah yang membuat pilihan sama ada untuk terus berada dalam keadaan kita yang sedia ada, atau berhijrah kepada satu corak hidup yang positif, produktif dan membahagiakan.



Maka bagaimanakah kita mengamalkan Hukum Tarikan dalam hidup kita ini? Jika ia merupakan satu hukum alam yang semulajadi, mengapakah masih banyak perkara negatif yang menimpa diri kita setiap hari? Malah, di mana-mana di sekeliling kita, hal-hal negatif berleluasa. Mungkin dalam kalangan kita ada yang akan bertanya, “Jika aku fikirkan RM1,000,000 dengan memberikan tumpuan penuh kepada apa yang aku hajatkan ini, duit sebanyak itu tak akan datang bergolek … mana nak dicekau duit sebanyak tu?”



Maka di sini, saya mulakan bicara dengan kata-kata ini: dalam mengamalkan Hukum Tarikan, “bagaimana” cara kita mendapatkan apa yang dihajati tidak penting, kerana ia bukan tugas kita. Alam akan secara semulajadi memberikan respon pada apa yang kita fikirkan; positif atau negatif. Dan yang lebih indah lagi ialah apabila kita membincangkan perihal meletakkan keyakinan sepenuhnya pada Yang Maha Mencipta.



Rahsianya adalah pada perasaan dalam hati kita. Perasaan. Perasaan gembira, tenang, dan redha mempunyai kuasa yang cukup istimewa dalam menggerakkan elemen alam semulajadi untuk berkhidmat kepada kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Dan inilah yang akan sama-sama kita terokai; kita menyingkap semula dan menerokai perasaan dalam diri kita, dan kita lihat mengapakah ia begitu penting dalam menjana tenaga untuk memastikan kita dapat apa yang kita impikan.



Inilah Law of Attraction, Hukum Tarikan, yang saya yakin bukan sahaja mengubah hidup saya menjadi lebih positif, malah telah memberi saya kesempatan untuk mengenali Rabb dengan lebih dekat lagi, InsyaAllah.